
Pasaran tidak bergerak dalam satu garisan lurus. Semasa anda trading, anda akan mengalami keuntungan dan kerugian, serta saat-saat bilamana pasaran naik dan turun. Nilai akaun anda juga akan naik dan turun mengikut harga pasaran dan strategi perdagangan anda. Apabila anda trading dalam Forex, ia bukan hanya mengenai berapa banyak wang yang anda boleh peroleh: ia juga mengenai berapa banyak wang yang anda boleh rugi. Di sinilah drawdown, atau istilah Melayunya penyusutan atau surutan, memainkan peranan.
Apakah itu penyusutan?
Penyusutan ialah perbezaan peratusan antara nilai tertinggi sesebuah pelaburan, dan titik terendah berikutnya sebelum nilai itu pulih semula. Penyusutan digunakan dalam perdagangan Forex untuk menilai prestasi dan risiko pelbagai strategi trading
Dalam suatu penyusutan, tempoh masa yang diambil oleh harga untuk pulih daripada kemerosotan, jika ia pulih, adalah sama penting dengan sejauh mana ia jatuh. Ia bukan kerugian melainkan trader menjual pelaburan tersebut pada harga rugi.
Penyusutan, atau drawdown, adalah normal. Trader gigih mempertahankan pelaburan mereka dan menunggu ia pulih dan menjadi menguntungkan.
Konsep-konsep utama penyusutan
Untuk memahami apa itu penyusutan, adalah penting untuk mengetahui beberapa konsep utama.
Puncak (peak)adalah nilai tertinggi bagi sesuatu aset atau pelaburan trader dalam satu tempoh masa tertentu. Jika anda sedang melihat pada carta, ia tampak seperti puncak sebuah gunung.
Lembah (trough) ialah nilai terendah aset atau pelaburan selepas mencapai satu paras tertinggi, sebelum memantul semula dan mencapai paras tertinggi baru.
Peratusan bagi suatu penyusutan ialah peratusan di mana aset atau pelaburan telah jatuh dari puncaknya ke lembah.
Pemulihan (recovery) ialah tempoh masa selepas melalui saat derita di lembah, di mana aset atau pelaburan mulai pulih dan kembali ke puncak sebelumnya.
Pengembangan (expansion) ialah kenaikan baharu yang berlaku selepas pemulihan, apabila aset atau pelaburan terus bergerak melepasi puncak lama menuju puncak baharu.
Penyusutan boleh bersifat terapung atau kekal. Penyusutan terapung merujuk pada kerugian yang belum direalisasikan daripada posisi yang masih aktif dan belum ditutup. Jika trader mengekalkan posisi-posisi ini, mereka masih mempunyai potensi untuk kembali ke wilayah positif. Penyusutan kekal merujuk pada kerugian yang telah direalisasikan daripada posisi yang telah ditutup. Wang ini hilang selama-lamanya kerana aset telah dijual dengan kerugian.
Jenis-jenis penyusutan
Penyusutan maksimum merujuk pada penurunan terbesar yang pernah dialami oleh akaun sebelum ia bangkit semula dan pulih. Ia menunjukkan senario terburuk yang boleh terjadi. Semakin besar penurunan itu, semakin berisiko pelaburan tersebut, dan semakin banyak wang yang anda berpotensi kehilangan. Jika anda menggunakan leveraj atau berdagang dalam jangka masa panjang, penyusutan maksimum boleh memberitahu anda betapa besarnya kesukaran yang perlu anda hadapi sebelum pulih.
Penyusutan purata adalah purata semua penurunan sepanjang masa dan memberikan pelabur gambaran tentang kekerapan akaun mereka mengalami penyusutan dan sejauh mana paras terendah penyusutan tersebut biasanya berlaku. Jika dalam enam bulan terakhir, akaun seorang trader mengalami beberapa penyusutan kecil sebanyak 10%, 12%, 8%, dan 14%, purata penyusutan tersebut adalah sekitar 11%.
Nisbah Calmar bukanlah penyusutan, tetapi ia menggunakan penyusutan untuk memeriksa berapa banyak pulangan yang anda peroleh setiap tahun sebagai pertukaran bagi jumlah risiko yang anda ambil. Ini membandingkan berapa banyak keuntungan yang anda peroleh dalam setahun dengan penyusutan terbesar, atau penyusutan maksimum, yang dialami oleh pelaburan anda. Sebagai contoh, jika pelaburan anda menghasilkan 15% dalam satu tahun, tetapi pada satu ketika dalam tahun tersebut ia susut sebanyak 5%, Nisbah Calmar akan menjadi 3 (15 dibahagi dengan 5). Nisbah Calmar yang lebih tinggi bermakna anda memperoleh lebih banyak wang dengan risiko yang lebih rendah. Menggunakan nisbah ini adalah cara yang cepat untuk melihat sejauh mana keberkesanan strategi anda dalam menjana wang,dan dari segi risiko.
Contoh penyusutan dalam Forex
Katakan seorang trader membeli pasangan EURUSD pada kadar tukaran 1.1000. Harga kemudian naik ke 1.2000 sebelum menurun ke 1.0000. Selepas mencapai 1.0000, ia naik semula kepada 1.2000. Harga tidak pernah turun di bawah 1.0000 dalam tempoh itu, jadi dalam kes ini, kemuncaknya adalah 1.2000 dan titik terendah adalah 1.0000.
Penyusutan ialah penurunan daripada paras tertinggi ke paras terendah. Penyusutan dari 1.2000 ke 1.000 adalah 16.67%.
Walaupun saham mengalami penyusutan sebanyak 16.67%, namun, trader sebenarnya tidak rugi 16.67%. Mereka membeli pada kadar atau harga 1.1000, jadi kerugian belum direalisasi mereka pada paras terendah 1.0000 hanyalah 100 pip, bukan 200.
Penyusutan adalah sejauh mana harga jatuh dari paras tertinggi, bukan berapa banyak kerugian yang trader tanggung secara peribadi. Berapa banyak mereka rugi bergantung pada situasi bila mereka membuka urusniaga.
Selepas itu, jika harga meningkat ke puncak baru di 1.3000, jatuh ke 1.2000, dan kemudian memantul kembali ke 1.3000 sekali lagi, penyusutan yang anda alami adalah sebanyak 7.69%. Setiap kali saham mencapai paras tertinggi baharu dan kemudian menurun, itu adalah penyusutan baharu.
Risiko penyusutan
Salah satu perkara yang sukar mengenai penyusutan ialah semakin besar kemerosotan, semakin sukar untuk kembali ke posisi asal. Sebagai contoh, jika akaun Forex anda jatuh sebanyak 5%, anda hanya memerlukan keuntungan kira-kira 5.26% untuk mencapai titik pulang modal. Tetapi jika ia jatuh sebanyak 40%, anda memerlukan kenaikan sebanyak 67% hanya untuk kembali ke titik permulaan. Semakin besar kejatuhan, semakin curam pendakian itu.
Oleh itu, ramai trader bimbang apabila mereka melihat penurunan yang besar. Bayangkan akaun seseorang surut dari $6000 kepada $3600. Itu kerugian sebanyak 40%. Adalah mudah untuk berasa tertekan dan ingin menarik diri untuk mengelakkan kerugian wang yang lebih banyak.
Tetapi jika anda tidak memerlukan wang segera, mungkin lebih baik untuk menunggu. Semasa pandemik pada tahun 2020, pasaran jatuh dengan teruk pada beberapa hari, kadangkala lebih daripada 7%. Ramai orang menjual kerana ketakutan. Tetapi mereka yang kekal di dalam pasaran menyaksikan akaun mereka kembali meningkat dengan banyak. Dalam satu atau dua tahun seterusnya, sesetengahnya bahkan meningkat sebanyak 50% atau lebih.
Penyusutan boleh bersifat terapung atau kekal. Tetapi jika strategi anda masuk akal dan anda tidak terdesak sehingga perlu menjual, bertahan dan mengharungi gelombang biasanya memberikan hasil dalam jangka masa panjang. Ingat, ia hanya kerugian sebenar jika anda jual ketika keadaan sedang merosot.
Mengapa penyusutan itu penting?
Penyusutan adalah lumrah dalam pelaburan dan akan berlaku walaupun dengan strategi yang paling berjaya. Mengambil kira perkara ini dapat membantu para trader kekal tenang dan mengawal emosi mereka apabila menghadapi kerugian atau ketika pasaran berada di puncak dan berpatah arah. Jika anda melihat sejarah S&P 500, anda akan nampak bahawa ia mengalami banyak penyusutan. Dalam jangka panjang, walau bagaimanapun, ia sentiasa pulih dan berkembang kembali.
Surutan juga boleh digunakan untuk mengukur risiko dan prestasi yang berkaitan dengan portfolio dan strategi trading. Anda boleh menentukan sama ada jumlah risiko yang anda ambil berbaloi dengan keuntungan yang anda perolehi, yang membawa kepada pengurusan wang anda dengan lebih baik. Anda boleh membandingkan strategi yang berbeza dan penyusutan setiap strategi tersebut untuk mencari yang paling sesuai untuk anda.
Mengetahui purata penyusutan sesuatu strategi boleh membantu trader mengenal pasti paras yang hendak dijadikan lokasi penetapan pesanan renti-rugi (stop loss) untuk mengehadkan potensi kerugian. Hanya kerana renti rugi tercetus tidak bermakna strategi itu tidak berfungsi. Anda hanya mahu strategi itu menguntungkan dengan lebih kerap berbanding ketika ia tidak menguntungkan.